oleh Muhammad Asyraff bin Mohammad Ariff
Pertama: Kenal pasti jenis saman/tuntutan
Sekiranya anda menerima saman daripada polis trafik ataupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), anda perlu mengenal pasti jenis kesalahan serta seksyen kesalahan. Hal ini penting untuk mengetahui denda minimum dan maksimum bagi kesalahan tersebut. Sebelum hadir ke mahkamah, anda hendaklah mengenal pasti tarikh sebutan, lokasi mahkamah dan nombor saman tersebut. Kes berkaitan kesalahan lalu lintas adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret.
Kedua: Berpakaian kemas
Semasa hadir ke mahkamah, anda disarankan berpakaian formal, kemas dan tidak mencolok mata sebagai tanda hormat kepada mahkamah. Anda dilarang berselipar ataupun berseluar pendek. Bagi lelaki, anda dilarang memakai rantai, subang, gelang tangan, topi dan cermin mata hitam. Seeloknya, pakailah pakaian yang bersesuaian dan memberikan imej serta tanggapan baik terhadap kita. Kata orang, pakaian mencerminkan diri kita.
Ketiga: Sediakan duit secukupnya
Sebelum hadir ke mahkamah, pastikan anda mempunyai duit yang cukup untuk membayar denda. Pastikan anda tahu berapakah jumlah maksimum denda bagi kesalahan anda. Seeloknya sediakan sepenuhnya amaun denda bagi kesalahan tersebut. Hal ini kerana jumlah denda hanya akan diputuskan oleh mahkamah.
Keempat: Matikan telefon bimbit ataupun tetapkan dalam mod senyap
Sebelum mahkamah bersidang (maksudnya hakim telah masuk ke mahkamah terbuka dan proses mahkamah telah bermula), pastikan telefon bimbit anda dimatikan ataupun dalam mod senyap. Tujuannya adalah untuk memastikan tiada bunyi telefon berdering semasa mahkamah sedang bersidang kerana ia boleh mengganggu proses mahkamah.
Kelima: Etika berada di dalam mahkamah
Sewaktu duduk di dalam mahkamah, anda dilarang bersila di atas kerusi, bersilang kaki ataupun mengangkat kaki ke hadapan. Sekiranya berdiri, anda dilarang memeluk tubuh dan bersandar di dinding mahkamah dalam keadaan berpaling dari Majistret. Anda juga dilarang bermain telefon, membuat bising ataupun bergurau senda. Selain itu, anda juga tidak dibenarkan duduk di tempat yang disediakan untuk peguam ataupun kandang Orang Kena Tuduh (OKT).
Keenam: Peka apabila nombor kes dipanggil
Apabila Majistret masuk ke mahkamah terbuka, anda hendaklah bangun dan berdiri. Apabila Majistret tunduk, anda pun turut tunduk dan duduk selepas itu. Anda hanya perlu menunggu sehingga kes anda dipanggil.
Jurubahasa akan menyebut nombor kes dan memanggil nama anda. Anda perlu peka; sekiranya jurubahasa telah menyebut kes anda tetapi anda tidak menjawab, jurubahasa akan memanggil kes seterusnya dan anda perlu menunggu sehingga kes anda dipanggil semula.
Ketujuh: Bersedia
Apabila kes anda dipanggil, sila berdiri dan bergerak ke hadapan. Sekiranya anda belum memberikan kad pengenalan sebelum mahkamah bersidang, sila serahkan kad pengenalan anda kepada jurubahasa yang bertugas.
Apabila di hadapan Majistret, anda hendaklah memanggil Majistret dengan sapaan hormat seperti "Tuan/Puan".
Kelapan: Mengaku salah atau tidak
Apabila kes anda dipanggil, pihak penguatkuasa akan bangun memperkenalkan dirinya. Kemudian jurubahasa akan membacakan pertuduhan kes terhadap anda.
Majistret akan menyoal anda berkenaan kesalahan yang disaman sama ada anda mengaku bersalah ataupun mengaku tidak bersalah. Sekiranya anda melakukan kesalahan tersebut, anda disarankan untuk mengaku bersalah, contohnya:
"Ya, saya mengaku bersalah dan mohon untuk dikurangkan denda."
Kesembilan: Rayuan mengaku bersalah
Sekiranya anda mengaku bersalah dan mohon dikurangkan denda, mahkamah akan memberikan anda peluang untuk membuat rayuan. Anda boleh mulakan dengan menyatakan seperti berikut:
"Dengan izin Tuan, saya... (nyatakan pekerjaan, tanggungan, dan perihal keadaan anda untuk pertimbangan mahkamah). Oleh itu, saya memohon dan merayu agar denda tersebut dapat dikurangkan dan saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama."
Sebaiknya gunakan bahasa yang mudah difahami dan jelas. Sekiranya rayuan anda dibenarkan, anda ucaplah terima kasih.
Setelah diputuskan oleh Majistret, anda boleh membuat bayaran di kaunter bayaran mahkamah. Sekiranya tidak mempunyai duit yang cukup, anda boleh menghubungi ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat untuk membantu anda. Sekiranya gagal membayar denda, anda boleh dipenjarakan (berdasarkan jenis kesalahan). Oleh itu, pastikan duit mencukupi untuk membayar denda supaya anda selamat.
Perlukan nasihat guaman?
Langkah pertama anda dengan peguam FAAIZ Law adalah penilaian awal secara percuma.
Hubungi FAAIZ Law
