Tuntutan Kecil di Mahkamah: Cara Tuntut Hutang Tanpa Peguam

oleh Adib Danial bin Abdul Malik

Hutang beratus, bayar lawyer beribu!

Ramai di antara kita pernah mengalami situasi di mana kita merasakan tidak berbaloi untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi hak kita kerana jumlah tuntutan yang kecil dan tidak berbaloi dengan bayaran yang perlu dikeluarkan untuk khidmat peguam.

Antara contoh situasi tersebut adalah apabila rakan gagal membayar wang yang dipinjamkan, atau apabila pelanggan gagal membayar perkhidmatan yang telah diberikan.

Tahukah anda bahawa sekiranya nilai hutang atau tuntutan anda tidak melebihi RM5,000.00, anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap rakan atau pelanggan anda seperti dalam situasi di atas tanpa perlu melantik peguam, dan dengan kos perbicaraan kurang daripada RM100.00? Ya! Tuntutan anda boleh difailkan di Mahkamah Tuntutan Kecil.

Apakah itu Mahkamah Tuntutan Kecil?

Mahkamah Tuntutan Kecil adalah Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan berupa hutang, perkhidmatan dan lain-lain di mana jumlah tuntutan tidak melebihi RM5,000.00. Prosedur di mahkamah ini hanya melibatkan pihak yang menuntut dan pihak yang dituntut, tanpa melibatkan peguam, bagi mengurangkan kos perbicaraan.

Siapakah pihak yang boleh menuntut dan pihak yang boleh dituntut?

Pihak yang menuntut mestilah individu, manakala pihak yang dituntut pula boleh terdiri daripada individu ataupun syarikat.

Apakah jenis-jenis tuntutan yang boleh dibuat?

Antara jenis kes yang boleh didengar oleh Mahkamah Tuntutan Kecil adalah seperti berikut:

  • tuntutan hutang berupa nilai wang;
  • tuntutan barangan;
  • tuntutan upah atau bayaran untuk sesuatu perkhidmatan;
  • tuntutan bayaran sewa yang tidak dijelaskan;
  • tuntutan terhadap barangan yang rosak; dan
  • tuntutan terhadap perjanjian perkhidmatan atau persembahan yang tidak dilaksanakan.

Apakah prosedur tuntutan kecil?

Memfailkan tuntutan

  • Pihak yang menuntut (Plaintif) perlu mendapatkan Borang 198 di Pejabat Pendaftaran mana-mana Mahkamah Majistret, atau dengan memuat turun borang tersebut.
  • Plaintif perlu melengkapkan borang tersebut dengan maklumat yang diperlukan serta butir-butir tuntutan, dan memfailkannya di Pejabat Pendaftaran. Kos pemfailan adalah sebanyak RM20.00.
  • Borang tersebut akan dimeterai oleh mahkamah, dan mahkamah akan menetapkan tarikh bicara.
  • Plaintif perlu menyerahkan borang yang telah dimeterai tersebut kepada pihak yang dituntut (Defendan) secara sendiri atau melalui pos berdaftar AR.

Hari perbicaraan

Perbicaraan akan dikendalikan oleh Majistret.

  • Sekiranya Defendan tidak hadir selepas dibuktikan bahawa borang tersebut telah diserahkan dengan sempurna kepadanya, mahkamah boleh membenarkan tuntutan Plaintif dan merekodkan Penghakiman Ingkar Kehadiran.
  • Sekiranya Defendan hadir tetapi Plaintif tidak hadir tanpa sebab yang munasabah, mahkamah boleh membatalkan tuntutan Plaintif.
  • Mahkamah juga boleh membenarkan tuntutan serta merekodkan penghakiman sekiranya Defendan hadir dan mengakui tuntutan tersebut.
  • Sekiranya Defendan hadir dan menafikan tuntutan tersebut, perbicaraan akan dijalankan.

Plaintif perlu membuktikan tuntutan atau kesnya terhadap Defendan dengan mengemukakan bukti-bukti seperti dokumen, rekod, rakaman perbualan serta keterangan lisan. Setelah mendengar dan meneliti keterangan kedua-dua pihak, Majistret akan membuat keputusan.

Selain daripada penghakiman yang dikeluarkan oleh Majistret, Plaintif juga boleh menuntut kos, iaitu perbelanjaan ke mahkamah beserta fi pemfailan borang, yang tidak melebihi RM100.00 daripada Defendan.

Sekiranya Defendan gagal menjelaskan tuntutan seperti yang telah diarahkan oleh mahkamah, Plaintif boleh mengambil tindakan pelaksanaan penghakiman.

Apakah tindakan pelaksanaan penghakiman yang boleh diambil terhadap Defendan yang degil? Nantikan artikel kami seterusnya dalam #edisihutang pada post yang akan datang.

Nota: Tips ini adalah bagi hutang atau tuntutan yang jumlahnya tidak melebihi RM5,000.00. Bagi tuntutan atau jumlah hutang yang melebihi RM5,000.00, sila hubungi kami untuk mendapatkan nasihat perundangan berkenaan kes anda.

Penafian – Segala pandangan, pendapat, kesimpulan atau maklumat lain yang terdapat dalam artikel ini tidak dianggap sebagai nasihat perundangan rasmi, dan firma tidak bertanggungan terhadap sebarang perkara yang berbangkit daripada penulisan ini. Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut, sila hubungi kami.

Perlukan nasihat guaman?

Langkah pertama anda dengan peguam FAAIZ Law adalah penilaian awal secara percuma.

Hubungi FAAIZ Law
Make an Inquiry