Lafaz Taklik Nikah: Maksud, Contoh & Taklik Tambahan

oleh Nur Khairunnisa As-Saadiyah

Lafaz taklik tambahan, kebaikan atau mudarat?

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai lafaz taklik tambahan dan adanya "template" bagi membolehkan pasangan suami isteri melakukan lafaz taklik tambahan tersebut. Namun, adakah ia memberikan kebaikan dalam rumah tangga ataupun sebaliknya?

Lafaz taklik

Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dibaca dan dilafazkan oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain. Semua negeri mempunyai lafaz taklik, dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz taklik ini akan dicatatkan sekali dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin.

Lafaz talak taklik yang disyaratkan selepas perkahwinan suami isteri berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain, berteraskan tiga (3) asas taklik seperti berikut:

  • menyediakan nafkah wajib secukupnya kepada isteri;
  • tidak menzalimi isteri; dan
  • tidak meninggalkan isteri selama 4 bulan berturut-turut.

Isteri yang ditinggalkan atau dicederakan seperti di atas boleh membuat aduan kepada Mahkamah Syariah berhampiran. Sekiranya pengaduan itu sabit dan disahkan oleh mahkamah, maka terjadilah perceraian secara taklik.

Lafaz taklik tambahan

Lafaz taklik tambahan adalah lafaz tambahan kepada lafaz taklik asas tadi, iaitu apabila seorang suami membuat janji atau memberi amaran kepada isteri supaya melakukan atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu. Perceraian taklik boleh berlaku sekiranya lafaz taklik tersebut dilanggar oleh suami.

Berdasarkan pendapat fuqaha alim ulama, lafaz taklik tambahan adalah harus. Namun begitu, lafaz taklik tidak boleh ditambah sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Lafaz taklik tambahan seharusnya diperhalusi dan tidak sewajarnya menggunakan syarat yang terlalu umum seperti "selagi tidak bertentangan dengan syarak". Hal ini kerana ia boleh mengundang kepada tertunainya syarat taklik tadi tanpa disedari dan tersabitnya talak. Maka, suami isteri tersebut dikhuatiri bersekedudukan dengan bukan mahramnya.

Sebagai contoh lafaz taklik tambahan oleh suami:

"Sekiranya saya menyekat atau menahan isteri bekerja atau menyambung pengajiannya, atau keluar dari rumah sama ada untuk bekerja atau menyambung pengajiannya, maka mengadulah isteri kepada mana-mana Hakim Syariah dan bersabit pengaduannya pada sisi Hakim Syariah itu, maka pada ketika itu tertalaklah isteri dengan satu talak."

"Sekiranya saya menyekat atau menahan isteri dari keluar rumah untuk menziarah keluarga, maka mengadulah isteri kepada mana-mana Hakim Syariah dan bersabit pengaduannya pada sisi Hakim Syariah itu, maka pada ketika itu tertalaklah isteri dengan satu talak."

Terdapat keadaan di mana lafaz taklik tambahan ini dicadangkan oleh para isteri bagi memelihara haknya, dipersetujui oleh suami, dan dilafazkan. Terdapat juga para suami yang melakukan lafaz taklik atas kehendaknya sendiri. Pasangan suami isteri hendaklah berfikir sedalamnya akan kesan lafaz taklik tersebut kerana kita tidak dapat menjangka perkara yang akan berlaku di kemudian hari.

Implikasi lafaz taklik

Adalah diingatkan bahawa implikasi lafaz taklik adalah seperti berikut:

  • tidak jatuh talak selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku;
  • mereka kekal sebagai suami isteri selagi syarat yang dikaitkan dengan taklik tidak berlaku, walaupun ia pasti berlaku ("apabila tiba bulan Ramadan engkau tercerai"); dan
  • jatuh talak apabila syarat yang berkaitan itu berlaku (lihat: al-Fiqh al-Manhaji (2/128)).

Apabila lafaz taklik telah dilafazkan, talak ataupun perceraian boleh disabitkan dengan lafaz taklik apabila berlaku perkara yang disyaratkan, dan ia tidak boleh ditarik balik berdasarkan pandangan majoriti fuqaha. Hal ini kerana lafaz taklik merupakan sebahagian daripada konsep talak. Maka, perbuatan bermain-main mahupun bergurau dengan lafaz talak bukanlah halangan untuk menidakkan jatuh talak, selagi pihak suami dalam keadaan faham (rusyd), baligh dan atas pilihannya sendiri. Oleh itu, perkara yang melibatkan talak tidak boleh dibuat main-main.

Nabi SAW menegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

ثَلاثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai, dan rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud, 2194)

Oleh yang demikian, sekiranya berlaku perkara seperti yang disyaratkan di dalam lafaz taklik tambahan, pasangan suami isteri perlu hadir ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahan lafaz taklik tersebut.

Akhir kata, sama-samalah kita sentiasa berfikir sedalamnya sebelum bertindak, serta peliharalah rumah tangga dan keluarga daripada kemudaratan dan kebinasaan.

Rujukan: Irsyad Al-Fatwa Siri ke-449.

Penafian – Segala pandangan, pendapat, kesimpulan atau maklumat lain yang terdapat dalam artikel ini tidak dianggap sebagai nasihat perundangan rasmi, dan penulis tidak bertanggungan terhadap sebarang perkara yang berbangkit daripada penulisan ini. Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut, sila hubungi kami.

Perlukan nasihat guaman?

Langkah pertama anda dengan peguam FAAIZ Law adalah penilaian awal secara percuma.

Hubungi FAAIZ Law
✉Make an Inquiry