10 Dokumen Wajib Tuntutan Kerugian Kemalangan

oleh Muhammad Faiz bin Hasan

10 dokumen wajib untuk menuntut kerugian akibat kemalangan melibatkan kenderaan pihak ketiga (tiada kecederaan dan kematian)

Perkara pertama yang terlintas di fikiran selepas berlaku kemalangan sudah semestinya anda mahu menuntut ganti rugi daripada orang yang melanggar ("Pihak Ketiga"). Tetapi, apa yang boleh dibuat sekiranya Pihak Ketiga tersebut tidak mahu membayar ganti rugi secara tunai di tempat kemalangan?

Jangan risau, anda tidak perlu bergaduh untuk menegakkan hak anda. Anda juga tidak perlu membazirkan No-Claim Discount (NCD) polisi insurans anda sendiri untuk membaiki kenderaan anda.

Inilah masanya untuk menuntut keadilan dengan membuat tuntutan ganti rugi terhadap penanggung insurans Pihak Ketiga tersebut. Tetapi perlu diingat, anda mesti memenuhi syarat dokumentasi di bawah sebelum membuat tuntutan ganti rugi dengan penanggung insurans, antaranya:

  1. salinan polisi insurans;
  2. salinan kad pendaftaran kenderaan yang dikemas kini;
  3. salinan kad pengenalan dan lesen memandu pemilik;
  4. salinan kad pengenalan dan lesen memandu pemandu (sekiranya pemandu bukan pemilik);
  5. laporan polis asal, hasil siasatan polis, pelan sketsa dan kunci;
  6. laporan asal penyelaras (adjuster), bil dan resit rasmi syarikat penyelaras;
  7. gambar polis dan gambar kenderaan selepas dibaiki;
  8. akuan berkanun;*
  9. waran untuk bertindak dan/atau surat ikrar;* dan
  10. Borang 9/13 & 49 dan/atau SSM (untuk kenderaan milik syarikat).

*Diperlukan sekiranya tuntutan dibuat melalui bengkel atau peguam.

Setelah kesemua dokumen di atas lengkap disediakan, anda boleh memulakan tuntutan dengan menghantar sepucuk Notis Tuntutan yang ditujukan kepada Bahagian Tuntutan Kerosakan Harta Pihak Ketiga (Third Party Property Damage Claim Department) penanggung insurans Pihak Ketiga tersebut, berserta dengan dokumen-dokumen di atas.

Nota: Tips ini sangat berguna kepada pemilik kenderaan kecil dan sederhana seperti motosikal "kapcai" dan motosikal berkuasa tinggi, kerana kebanyakan bengkel hanya membuat tuntutan pihak ketiga bagi kenderaan yang menelan kos pembaikan yang tinggi seperti kereta, lori, van, bas dan jentera berat yang lain.

Penafian – Segala pandangan, pendapat, kesimpulan atau maklumat lain yang terdapat dalam artikel ini tidak dianggap sebagai nasihat perundangan rasmi, dan firma tidak bertanggungan terhadap sebarang perkara yang berbangkit daripada penulisan ini. Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut, sila hubungi kami.

Perlukan nasihat guaman?

Langkah pertama anda dengan peguam FAAIZ Law adalah penilaian awal secara percuma.

Hubungi FAAIZ Law
Make an Inquiry